
Viral, Penyokong PSIM Yogyakarta Dipercayai Serang Bas Penyokong Persib Bandung
Peminat aksi Liga Super Indonesia baru-baru ini didakwa mencetuskan kekecohan selepas perlawanan Super League 2025/2026 antara PSIM Yogyakarta dan Persib Bandung, lapor portal tvonenews.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Agung, Bantul pada Ahad, kelab PSIM selaku tuan rumah terpaksa berkongsi mata dengan Persib Bandung dengan keputusan seri 1-1.
Kedua-dua gol tersebut dijaringkan menerusi Ze Valente sebelum kedudukan terikat menerusi gol minit akhir Patricio Martin pada minit akhir.
Aksi berkenaan sememangnya cukup mendebarkan kerana Persib Bandung mahu meraih kemenangan kedua liga, manakala PSIM Yogyakarta tidak mahu menerima kekalahan pertama dalam tiga perlawanan.
Kelab Persib Bandung sebenarnya mempunyai dua peluang melalui tendangan penalti. Namun, kedua-dua tendangan penalti gagal disempurnakan menyebabkan mereka hanya membawa pulang satu mata dari markas PSIM.
Penyokong Persib Bandung berasa takut ketika berada dalam bas
Jadi, keputusan ini menempatkan Persib Bandung di kedudukan ketujuh dalam carta liga dengan mengumpulkan tiga mata, manakala PSIM Yogyakarta lebih unggul dengan mencatatkan empat mata dan berada di kedudukan keenam.
Menurut portal tvonenews, keputusan itu sekaligus mencetuskan kemarahan dalam kalangan ribuan penyokong di stadium sehingga mengakibatkan pergaduhan selepas tamat perlawanan.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa punca kekecohan ini bermula di kawasan Terminal Ngabean, Daerah Istimewa Yogyakarta pada waktu malam.
Difahamkan, penyokong Persib Bandung yang dalam perjalanan pulang menggunakan bas berada dalam keadaan ketakutan selepas penyokong tuan rumah mengerumuni mereka.
Cermin hadapan bas dipecahkan
Menerusi rakaman video yang tersebar di media sosial, cermin hadapan bas terbabit dipecahkan menggunakan objek tumpul dengan kehadiran pihak polis dan pengawal stadium turut gagal meredakan keadaan.
Laporan mendapati ada individu cuba membakar bas yang dinaiki oleh penyokong Persib Bandung, maka mereka terpaksa berlindung di sebalik tempat duduk kerana tidak mampu melawan amukan tuan rumah.
Menurut portal tvonenews, kekecohan terjadi selepas bas tersebut dikatakan melanggar sekumpulan penyokong PSIM Yogyakarta, namun tiada sebarang pengesahan dibuat berhubung punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, pihak polis masih belum mendedahkan jumlah mangsa yang terlibat akibat kekecohan antara kedua-dua kumpulan penyokong setakat ini.
Insiden yang berlaku sememangnya merisaukan kerana Persib Bandung akan mengalu-alukan kehadiran kelab tanah air, Selangor FC dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two pada Oktober ini.
https://www.facebook.com/share/v/1FVqfUcELS/
Sumber: tvonenews, @yourbee062 via TikTok