Hari ini media sosial ‘dikejutkan’ dengan kejadian sebuah helikopter yang mendarat di Ipoh, Perak semata-mata untuk membeli ‘stok’ Nasi Ganja Ipoh, dipercayai sebanyak 36 bungkus.
Namun, ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyebarkan gambar mendakwa kononnya pesanan tersebut adalah daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dakwaan itu tersebar luas menerusi aplikasi WhatsApp dan telah dikongsikan beberapa kali hingga menimbulkan pelbagai spekulasi awam.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul yang tidak melatah dengan dakwaan tersebut, telah tampil membuka mulut dan menyatakan perkara sebenar.
“Lucu bila terima forwaded WhatsApp message kononnya saya order nasi ganja Ipoh guna helikopter. Mereka guna gambar lama saya makan Nasi Vanggey pada Disember 2020, tapi crop tarikh.
“Saya sebenarnya dah lama tak makan Nasi Vanggey. Tapi dari order guna helikopter, baik guna delivery service yang banyak ada macam Nasi Kandaq Transporter, Nasi Kandaq Runner etc, boleh juga bantu usahawan kecil,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebooknya malam ini. Turut dijelaskan adalah perbandingan dua gambar berbeza tarikh yang telah disunting.
Pada gambar dakwaan palsu (kiri), mesej berangkai itu memaparkan gambarnya yang sedang menjamah hidangan Nasi Vanggey pada hari ini di Parlimen, kononnya pesanan itu diambil menggunakan helikopter.
Namun, tarikh pada gambar asal yang sebenar (kanan) pula telah menepis dakwaan tersebut. Foto Tengku Zafrul menjamah Nasi Vanggey itu sebenarnya telah dimuat naik olehnya sendiri pada 16 Disember tahun lalu.
“Gambar dari Disember 2020 yang telah disalah guna untuk mengatakan saya telah memesan Nasi Vanggey menggunakan penghantaran helikopter,” tulisnya pada kapsyen gambar tersebut.
Sumber: FB Tengku Zafrul