
Vietnam Diramal Bakal Gantikan China Sebagai ‘Kilang Dunia’, Hub Pembuatan Global
Memiliki peluang yang lebih besar dengan harga untuk hak memiliki tanah, upah buruh dan perbelanjaan operasi untuk kilang dan gudang yang lebih murah, Vietnam diramal bakal menggantikan China sebagai kilang dunia atau hub pembuatan global suatu hari nanti.
Menurut Pejabat Perangkaan Am Vietnam, ekonomi Vietnam berkembang 5.03 peratus pada Q1 2022, berbanding tempoh yang sama tahun lalu, mengatasi China yang meningkat 4.8 peratus.
Ketika Covid-19 masih berleluasa di kawasan hub pembuatan China, seperti Wilayah Guandong dan Shanghai yang mengganggu rantaian bekalan, ekonomi Q1 Vietnam sebaliknya menunjukkan prospek yang lebih menarik, lapor Global Times.
Jumlah perdagangan asing Vietnam juga meningkat kepada USD 176.35 bilion pada Q1, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 14.4 peratus. Sebagai perbandingan, perdagangan asing Q1 China meningkat 10.7 peratus dari segi yuan.
Lebih-lebih lagi, pelabur asing dan perniagaan milik asing lain juga dilapor mula beralih kepada pasaran Vietnam. Baru-baru ini, media Vietnam melaporkan bahawa mogul perniagaan, Li Ka-Shing telah melabur untuk infrastruktur di negara itu berjumlah berbilion-bilion selepas berundur dari pasaran United Kingdom.
Ketika Asia Tenggara mula melonggarkan sekatan yang dilaksanakan dalam tempoh pandemik dan China pula terpaksa bekerja keras mengekang semula peningkatan kes Covid-19 di bandar-bandar utamanya, timbul gelombang baharu persoalan sama ada kilang-kilang besar mula keluar dari China. Jika krisis berpanjangan, industri pembuatan global mungkin mengurangkan kebergantungannya kepada negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu dan beralih kepada Vietnam.
China memulakan pembaharuan dan membuka pasarannya pada tahun 1978. Vietnam mengikuti jejak langkah China dan memulakan pembaharuan pasarannya sendiri yang dikenali sebagai ‘Doi Moi’ pada tahun 1986. Sejak beberapa dekad yang lalu, pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara adalah luar biasa.
Tetapi perang perdagangan yang tercetus antara AS dan China pada 2018 telah mempercepatkan pemindahan ‘nakhoda’ gelombang keempat industri, dengan negara seperti Vietnam dan Mexico muncul sebagai pemenang terbesar dalam pertikaian dua kuasa besar dunia tersebut.
Perdagangan Vietnam dan AS telah berkembang dengan ketara sejak 2018. Data terkini menunjukkan lebihan dagangan Vietnam dengan AS meningkat kepada USD 81 bilion pada 2021 daripada USD 63 bilion 2020.
Untuk masa hadapan, dijangka Vietnam akan terus kekal sebagai pasaran yang menarik pelaburan asing dan destinasi untuk kepelbagaian jenis bekalan.
Namun begitu, dari persepktif ekonomi dan populasi, Vietnam mungkin tidak mampu mengatasi China sebagai hub pengeluaran global sepenuhnya. Menurut Bank Dunia, jumlah tenaga buruh Vietnam hanyalah sekitar 7 peratus populasi China. Ini bermakna, biarpun Vietnam mampu menarik pelaburan beberapa sektor pembuatan seperti tekstil dan elektronik, ia masih tidak mampu mengatasi keupayaan penuh China.
Contohnya, Apple sebelum ini mengurangkan lokasi-lokasi pengeluarannya di China daripada 48 ke 42 peratus, kebanyakkannya berpindah ke Vietnam, tetapi Apple turut menambah 14 pembekal baharu di China, kebanyakkannya terlibat dalam industri teknologi canggih yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi.
Selain itu, Vietnam juga sebenarnya bergantung kepada China, iaitu turut mengimport pelbagai produk elektronik dan bahan mentah yang memastikan sektor pembuatan di negara tersebut terus berkembang pesat.
Sumber: Business Standard