Vietnam berdepan skandal rasuah
Kredit AFP

Vietnam Digegar Dengan Skandal Rasuah RM57.9 Bilion, Terbesar Di Asia Tenggara

Syed Faisal Sayed Muhammad

Vietnam Digegar Dengan Skandal Rasuah RM57.9 Bilion, Terbesar Di Asia Tenggara

Vietnam dilaporkan berdepan dengan skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara itu melibatkan penggelapan wang bernilai €11.4 billion (RM57.9 bilion).

Jumlah berkenaan dikatakan menyamai kira-kira 3 peratus nilai GPD negara tersebut. Skandal rasuah berkenaan dianggap sebagai yang terbesar di Asia Tenggara setakat ini.

Menurut DW, skandal berkenaan terbongkar susulan pendakwaan yang dibuat ke atas seorang pengerusi syarikat pemaju hartanah terkemuka Vietnam. Dia ditahan pada tahun lepas dan didakwa oleh Kementerian Keselamatan Awam Vietnam, 17 November lalu.

Suspek, yang merupakan seorang wanita, didakwa menyeleweng dana berkenaan daripada Bank Komersial Saigon dalam tempoh beberapa tahun, dimana dia merupakan pemegang saham terbesar.

1,000 anak syarikat digunakan dalam cubaan menggelapkan wang

Menurut kenyataan kementerian berkenaan, wanita itu mengawal operasi lebih 1,000 anak syarikat domestik dan subsidiari asing.

Menerusi syarikat itu, dia didakwa membuat pinjaman lebih RM57.9 bilion daripada Bank Komersial Saigon sebelum 1/3 jumlah berkenaan dilencongkan ke beberapa syarikat ‘hantu’.

Syarikat-syarikat ‘hantu’ berkenaan dilapor ditubuhkan oleh wanita tersebut dan beberapa ahli keluarganya yang lain.

Pada pertengahan November lalu, seramai 85 orang individu termasuk 24 pegawai kerajaan dan sekutu kepada syarikat pemaju hartanah berkenaan dan Bank Komersial Saigon juga ditahan.

Kerajaan Vietnam juga dilapor membuka kertas siasatan tambahan melibatkan 23 penjawat awam. Ia termasuk 12 orang kakitangan yang bertugas di Bank Negara Vietnam iaitu bank pusat negara itu.

BACA: Malaysia Bakal Menerima Pelaburan Besar Bagi Mewujudkan Teknologi AI

Terdahulu, Parti Komunis Vietnam yang memerintah negara itu telah menjalankan kempen anti-rasuah secara besar-besaran bermula 2016.

Kempen itu digerakkan selepas kemenangan Nguyen Phu Trong, Setiausaha Agong parti berkenaan yang berjaya menewaskan Perdana Menteri, Nguyen Tan Dung dalam satu pilihanraya parti.

Hasil kempen tersebut menyaksikan ramai penjawat awam kerajaan termasuk menteri ditahan selepas didakwa terlibat dengan pelbagai skandal rasuah.

Pada Januari lepas, Nguyen Xuan Pac meletak jawatan sebagai Presiden Vietnam manakala beberapa menteri kanan ditahan.

Mereka didakwa terlibat dalam skandal rasuah dalam proses pemerolehan bekalan kit ujian koronavirus sepanjang pandemik yang dibuat oleh kerajaan.

Sumber: DW