Sebuah helikopter milik Tentera Udara India, Mi-17v5, dilaporkan telah terhempas di Coonoor Tamil Nadu pada Rabu.
Memetik laporan India Today, empat orang daripada 14 anggota yang berada di dalam helikopter itu telah disahkan maut dalam kejadian nahas tersebut.
Setakat ini, tiga orang telah diselamatkan sementara pencarian kru-kru yang lain sedang dijalankan.
Sumber media tempatan melaporkan bahawa ketiga-tiga mangsa yang diselamatkan mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital di kantonmen Wellington di daerah Nilgiris.
Antara penumpang yang berada di dalam helikopter tersebut adalah Ketua Staf Pertahanan, Jeneral Bipin Rawat dan isterinya, pembantu pertahanan, komando keselamatan dan seorang juruterbang IAF. Mereka dikatakan dalam perjalanan ke Wellington di Coonoor dari pangkalan Tentera Udara India di Sulur.
Rakaman di tempat kejadian memaparkan api yang sangat besar dan penduduk tempatan turut membantu operasi menyelamat. Mereka juga telah membawa dua mayat dengan 80 peratus kesan melecur ke hospital tempatan.
Sementara itu, Tentera Udara India telah mengesahkan kejadian tersebut di Twitter dan berkata satu siasatan akan dijalankan untuk mengenalpasti punca nahas tersebut.
Sumber: India Today