Dipercayai tidak berpuas hati kerana tidak menerima bayaran diminta, seorang pemilik firma pembinaan di Huddersfield, England bertindak meletakkan dua buah kereta rosak di hadapan blok apartment sebagai tanda tidak berpuas hati kepada penduduk di sana.
Menurut Mirror UK, salah seorang pemilik rumah di apartment berkenaan mendakwa setiap daripada mereka diminta untuk membayar bil sehingga £11,000 (bersamaan kira-kira RM64,497) selepas urusan pembaikan kebocoran air selesai dilakukan oleh firma/kontraktor tersebut pada Disember lalu. Ini menjadikan jumlah yang perlu dibayar para penduduk secara keseluruhan sebanyak £66,000 (kira-kira RM387, 078).
Pun begitu katanya, kerja pembaikan yang serupa boleh dilakukan kontraktor lain dengan bil lebih rendah, sekitar £25,000 sahaja (anggaran RM146,583).
Tambah lelaki itu, satu pertemuan telah diatur dengan pemilik firma berkenaan yang juga salah seorang pemilik kediaman di situ pada Jun lalu. Hasil pertemuan, para penduduk di situ dikatakan enggan membayar bil dikenakan.
Lapor portal tersebut, mereka menganggap cas itu sebagai pencabulan hak mereka di samping mendakwa kerja-kerja pembaikan dilakukan tanpa sebarang konsultasi.
Lantaran krisis itu, pihak firma didakwa telah meletakkan blok batu di hadapan pintu masuk residensi itu, sekaligus menyekat kereta daripada keluar masuk ke premis berkenaan.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba West Yorkshire dilaporkan telah meminta agar halangan itu diubah kerana menjadi risiko sekiranya berlaku kebakaran. Menurut laporan, penduduk tempatan telahpun mengubah blok batu itu bagi membuka laluan mereka.
Pun begitu, krisis tersebut memuncak apabila akhirnya dua buah kereta skrap diangkut menggunakan jentolak dan diletakkan di parkir kediaman tersebut dipercayai sebagai tanda protes.
Sumber: Mirror UK