Salah satu komponen penting dalam sesebuah kenderaan ialah penyejuk atau coolant yang menyejukkan enjin anda agar tidak panas terlampau (overheating).
Sebaiknya menurut Cars.com, bendalir coolant ini ditukar setiap 50,000 kilometer atau bergantung kepada manual kenderaan serta jenis penyejuk yang digunakan. Coolant yang baik penting bagi memastikan bendalir ini tidak beku ketika cuaca sejuk atau mendidih pada suhu panas (Universal Technical Institute (UTI), 2020).
Selain itu, bendalir coolant yang baik juga diperlukan untuk mengelakkan berlakunya pengaratan pada bahagian besi di dalam sistem penyejukan serta enjin kereta anda sekaligus merosakkan komponen seperti radiator. Tambah UTI, sistem penyejukan yang tidak berfungsi dengan baik boleh menyebabkan radiator mengalami hakisan atau dipenuhi mendakan. Oleh itu, anda mungkin menyangka radiator yang gagal berfungsi, tapi sebaliknya masalah itu adalah disebabkan penggunaan coolant yang tidak betul.
Macam mana nak pastikan sistem penyejukan kenderaan anda berada dalam keadaan baik? Caranya ialah anda boleh membuka penutup radiator kenderaan anda untuk mengesan sebarang karat yang boleh merosakkan komponen lain kenderaan.
Kongsi seorang mekanik di TikTok yang dikenali sebagai @abangcomot, pertamanya, anda perlu memastikan enjin berada dalam keadaan sejuk sebelum membuka penutup radiator. Lihat keadaan penyejuk ketika enjin dihidupkan dan pastikan penutup radiator dalam keadaan baik di mana injapnya berwarna hitam serta spring tidak jem atau keras.
Untuk gambaran lebih jelas, jom tonton videonya di bawah.
Sumber: Cars.com, @abangcomot, Universal Technical Institute