Culiacan, Mexico – Sekumpulan lelaki bersenjata bertempur dengan pasukan keselamatan dan menggugat keselamatan penduduk di negeri kelahiran ketua kartel mereka yang dikenali sebagai El Chapo.
Kumpulan berkenaan menaiki trak dan menggunakan senjata berat bagi menyerang anggota keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera.
Menurut stesen televisyen tempatan, Milenio, pertempuran tersebut berlaku sebagai tindak balas penahanan Ovidio Guzman, salah seorang anak El Chapo yang menjadi pengganti bapanya dalam pengedaran dadah di lokasi berkenaan setelah ayahnya dipenjarakan di Amerika pada 2017.

Pihak berkuasa tempatan belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan atau menafikan laporan berkenaan.
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador memberitahu media tempatan bahawa badan keselamatan negara berkenaan telah mengadakan mesyuarat dan akan memberi makluman tentang isu tersebut kemudian.
Pertempuran bermula
Peperangan bermula pada tengah hari berhampiran pejabat pendakwaraya apabila kumpulan lelaki bersenjata memakai penutup muka menghalang lalu lintas sebelum mula menembak dan menyebabkan pemandu lain cemas dan lari meninggalkan kereta mereka di tengah jalan.

Peperangan tersebut turut merebak ke beberapa lokasi lain di bandar berkenaan.
El Chapo, 62, telah dipenjarakan 30 tahun di Amerika sejak 2017 setelah menyeludup ratusan tan kokain, heroin, metamfetamin dan ganja ke Amerika Syarikat dalam tempoh 25 tahun. Dia pernah melarikan diri dari penjara Mexico melalui terowong pada 2015 namun berjaya ditahan dan diekstradisi ke AS.
Kartel miliknya menjadi salah satu sindiket pengedaran dadah paling kuat di Mexico setelah kematian Pablo Escobar, ketua sindiket dadah yang terbunuh dalam pertempuran dengan pihak polis pada 1993.
Dia dikatakan pernah menggunakan pembunuh upahan untuk melakukan ratusan pembunuhan, penculikan dan penyeksaan ke atas saingannya.
Sumber: BBC