Hidup sebagai perantau di negara orang bukanlah perkara yang mudah. Tanpa sokongan daripada orang dikenali di sekeliling, pasti sukar untuk menapak membina hidup baru. Disebabkan itulah, komuniti perantau mempunyai hubungan yang amat rapat sesama sendiri walaupun tidak mempunyai pertalian darah.
Di salah sebuah bandar kecil berpopulasi hanya lebih kurang 3000 orang di barat Australia, 277 km tenggara Perth, tinggal beberapa buah keluarga Melayu di bandar Katanning. Komuniti tersebut bermula apabila penduduk Melayu Pulau Cocos berhijrah untuk bekerja di pusat sembelihan halal yang terletak di Katanning.
Katanning berasal daripada perkataan kartannin yang bermaksud ‘tempat bertemu’ dalam bahasa penduduk asli di sana. Ia merupakan tempat pasaran gandum dan penternakan biri-biri serta menghasilkan produk benang bulu biri-biri.
Titik pinpoint, Katanning terletak 3 jam (kira-kira 277 km) dari Perth.Biarpun lebih 40 tahun tinggal di sana, komuniti Melayu di bandar tersebut masih mengamalkan adat resam Melayu seperti di tanah air mereka.
Satu dokumentari ringkas SBS Australia bertajuk ‘Where Are You Really From’ baru-baru ini memaparkan persediaan majlis perkahwinan masyarakat Melayu di sana.
Menariknya, di kala kita di Malaysia lebih memilih untuk menggunakan perkhidmatan katering, komuniti ini masih mengamalkan aktiviti gotong-royong atau pun rewang bagi melakukan persiapan majlis perkahwinan anak mereka.
“Generasi yang lebih awal tiba di sini telah bekerja keras untuk memperkenalkan identiti kami (masyarakat Melayu) kepada orang sekeliling. Jadi ketika saya dilahirkan dan pergi ke sekolah, semua orang telah mengenali dan menerima kami,” ujar seorang lagi penduduk yang ditemubual, Moh.
“Di sini lah tempat asal saya dan saya ingin jadikannya tempat yang lebih baik,” katanya mengakhiri temubual tersebut.
Sumber: SBS Australia, Britannica, ABC