
Seekor kucing ditemui dalam keadaan masih bernyawa walaupun dikatakan tenggelam di dalam lumpur panas semasa letusan gunung berapi Semeru di Jawa Timur, lapor Suara.com.
Kejadian letusan gunung berapi Semeru di Jawa Timur beberapa hari lalu telah menyaksikan debu tebal bertebaran sehingga memberi kesan kepada penduduk di kawasan sekitar.
Tidak hanya penduduk kawasan sekitar malah haiwan turut terjejas berikutan fenomena alam itu.
Berdasarkan sebuah video tular yang dikongsikan di TikTok, seorang lelaki menemui berwarna putih itu yang hampir tenggelam di dalam lumpur di rumah pemiliknya.
Dalam video itu lelaki tersebut melihat seekor kucing yang terbaring di dalam timbunan lumpur tetapi bulu kucing itu masih kelihatan bersih.
Lelaki itu kemudiannya mendekati kucing tersebut sebelum haiwan itu bangun dan bersembunyi di sebalik kayu-kayu yang hanyut.
Video itu dikatakan tular kerana ramai warganet yang melahirkan rasa kagum dan kasihan setelah melihat perkongsian video tersebut.
Ada yang turut meninggalkan komen untuk lelaki tersebut menyelamatkan kucing itu.
Menurut laporan, keadaan kucing itu tidak kelihatan dengan jelas. Walau bagaimanapun, selepas melihat kucing itu, lelaki yang merakam video itu meminta rakan sekerjanya membawa kucing itu ke tempat yang lebih selamat.
Sumber: Suara.com