(Video)Kesiannya, Anak Gajah Tak Bermaya Mati Selepas Dipaksa Buat Persembahan Untuk Pelancong

Amira

Malang bagi gajah berusia 3 tahun bernama Dumbo/Jumbo, ia dipaksa untuk melakukan pertunjukan 3 kali sehari walaupun dalam keadaan kurus dan tidak bermaya tanpa penjaganya menyedari kecederaan yang dialami.

Akibatnya, Dumbo terjatuh dan dibawa penjaganya ke klinik veterinar sebelum hasil imbasan mendapati anak gajah tersebut mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki belakangnya.

Beberapa hari sebelum itu, kedua-dua kaki belakang anak gajah tersebut patah ketika sedang berusaha melepaskan diri daripada tersangkut di dalam lumpur.

Tidak lama selepas mengharungi fasa penyeksaan mental dan fizikal, Dumbo akhirnya mati pada 20 April lalu.

Pada awal bulan April, persatuan Moving Animals telah membuat petisyen dan mendapatkan 220,000 tanda tangan bagi menuntut pembebasan Dumbo yang dipercayai dilayan dengan buruk di bawah jagaan zoo berkenaan.

“Kempen tersebut memberi kesedaran kepada dunia, betapa kurusnya fizikal Dumbo, menunjukkan keadaannya yang sedang kesakitan,” kata wakil persatuan tersebut.

“Ia kemudiannya mengalami jangkitan pada saluran pencernaan, membuatkannya semakin lemah. Memburukkan keadaan, kaki belakangnya turut patah.

“Walaupun begitu, pihak zoo tidak menyedari keadaan kaki anak gajah tersebut yang telah patah sehinggalah ia dibawa ke hospital.”

Foto: Moving Animal

“Kami berterima kasih kepada semua yang menyokong Dumbo. Kami berharap Dumbo mendapat hak kebebasan yang dinafikan sepanjang hidupnya. Semoga kisah tragik ini akan menggesa pihak berkuasa Thai untuk mengakhiri aktiviti pertunjukan sarkas.”

Pihak medik di zoo tersebut berkata, haiwan itu diletakkan di kandang berasingan setelah mengalami kecederaan bagi menghindari haiwan lain.

Pada 13 April, kaki hadapannya tersangkut di dalam lumpur, membuatkan haiwan itu menggunakan kaki belakangnya yang lemah untuk melepaskan diri, membuatkan kedua-dua kakinya patah.

Foto: Moving Animal

Pihak zoo tersebut tidak menyedari kecederaan dialami sehinggalah pada 17 April ketika ia dibawa ke hospital. Doktor cuba untuk merawat anak gajah berkenaan, namun pada 19 April, haiwan itu menolak untuk makan dan mati pada keesokan harinya.

Pengurus Zoo Phuket Pichai Sakunsorn menafikan terdapat unsur-unsur penderaan ke atas Dumbo dan menegaskan haiwan tersebut merupakan aset berharga zoo berkenaan.

Pajaan

Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana seekor haiwan gergasi pintar boleh taat pada makhluk yang lebih kecil daripadanya?

Pengeksploit gajah akan melakukan pajaan, satu amalan sejak beratus tahun dahulu untuk mematahkan semangat gajah.

Anak gajah akan dipisahkan dari induknya dan dikurung sendirian. Sebagai haiwan yang hidup dalam kumpulan, tindakan tersebut akan memberi trauma kepada si anak gajah. Selain dibiarkan lapar dan dahaga, haiwan ini akan dirantai dan dipukul dalam kurungan yang sempit sehinggalah ia berputus asa untuk melepaskan diri.

Setelah pajaan berakhir, barulah anak gajah akan dilatih untuk membuat persembahan sarkas seperti bermain gelung, berdiri dengan dua kaki sehinggalah bermain alat muzik dan melukis.

Jadi awas, jika anda melihat haiwan liar melakukan aktiviti yang mereka tidak akan lakukan di hutan, itu menunjukkan haiwan tersebut telah didera sehingga mereka pasrah sebelum dieksploit.

Sumber: Daily Mail