Selain anak kecil, kucing juga mempunyai telatah tersendiri yang membuatkan orang ramai tak kering gusi. Ada sahaja akal mereka untuk mencuba perkara baru yang kadangkala di luar jangkaan kita.
Situasi tersebut boleh digambarkan sepertimana yang dilakukan oleh kucing peliharaan seorang lelaki di Singapura, Zul Taylor.
Dalam satu videonya yang dikongsikan semula Mothership.sg, rumah pemuda itu telah mengalami banjir, dipercayai gara-gara ada ‘tangan misteri’ yang seringkali membiarkan paip air dapur terbuka.
Dalam video itu, kelihatan seekor kucing sedang asyik bermain air yang melimpah dari sinki dapur.
Sementara itu, beberapa ekor kucing lain yang duduk di atas meja berhampiran dilihat ‘tertunduk’ seperti sedang serba salah.
Menerusi bahagian kedua video sama, Zul mendakwa kejadian itu berulang selepas dia bangun tidur.
“Saya bangun tidur, dengar bunyi paip dibuka. Siapa yang buka? Saya duduk seorang diri. Tengok ni, rumah banjir lagi. Saya kena pergi kerja,” kata Zul.
Sebaik sahaja melangkah ke dapur, kelihatan air melimpahi sinki. Dua ekor kucing sedang asyik bermain air manakala seekor lagi sedang ‘menunggu’ di atas sinki.
“Lecak lagi guyss. Siapa yang bukak air ha? Siapa yang bukak air?”
“Dah macam kolam renang,” kata lelaki itu.
Biarpun tidak dapat dipastikan siapakah dalang sebenar di sebalik banjir yang berlaku, video itu telah membuatkan orang ramai terhibur dengan gelagat kucing-kucing tersebut.
“Hei jangan main!”


Macam mana awak bezakan kucing-kucing tu?


Musim panas, buat kolam renang sendiri

Sumber: Mothership.sg, Zul_taylor12