MUKAH, 21 Okt (Bernama) — Bahagian bumbung dan siling empat bilik asrama lelaki yang terletak di tingkat atas bangunan asrama dua tingkat SMK Mukah musnah dalam satu kebakaran petang ini.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata kebakaran di Asrama Putera SMK Mukah itu dipercayai bermula dari satu pintu rintangan api di tingkat atas bangunan dua tingkat itu, sebelum api merebak sehingga ke bahagian siling.
Beliau berkata kejadian berlaku semasa semua 202 pelajar lelaki yang menghuni asrama itu sedang berehat selepas makan tengah hari dan mereka berjaya dibawa keluar dari bangunan itu dengan bantuan pihak sekolah.
“Proses panggil nama telah dilakukan, di mana kesemua pelajar yang terlibat disahkan selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut beliau, pihak Bomba dan Penyelamat Mukah berjaya mengawal api daripada merebak tidak lama kemudian, dan hanya bahagian siling serta bumbung bangunan itu sahaja yang musnah dalam kebakaran.
Sementara itu jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata sebuah kenderaan LFRT, sebuah lori tangki, sebuah EMRS dan sebuah lori Isuzu dengan kekuatan 12 anggota bergegas ke sekolah itu untuk memadam kebakaran selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.09 petang.
“Kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 3.16 petang. Kesan kebakaran yang terlibat adalah hanya 20 peratus daripada keseluruhan bangunan,” kata jurucakap itu ketika dihubungi.
Menurut beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sumber: BERNAMA, My Mukah