
Siapa sahaja tak sedih bila terpaksa berjauhan dengan ibu bapa yang telah tua. Apatah lagi apabila hari bahagia tak dapat disambut bersama gara-gara pandemik yang melanda. Hari-hari dilalui penuh dengan ketidakpastian, bilakah lagi akan dapat bertemu mereka secara empat mata selagi kedua-duanya masih bernyawa.
Biarpun panggilan telefon boleh menghubungkan anak-anak dengan ibu bapa, hanya Allah sahaja yang mengetahui isi hati mereka di hujung sana.
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi reaksi ibu bapanya ketika dapat berbual dengan anak-anak melalui panggilan video. Jelas sebak, kelihatan ibu dan ayahnya mengesat air mata tatkala menatap wajah si anak di telefon.
“Video ni dirakam masa hari jadi abah. Anak buah yang rakam sebab kami tak dapat balik kampung.
“Maaf abah mungkin ni tahun kedua anak-anak abah tak dapat balik raya dengan abah dan mak. Abah dan mak jangan sedih ye, kami janji bila kerajaan dah benarkan merentas negeri kami semua akan balik,” tulisnya.
Video itu telah mendapat lebih 15 ribu tanda suka setakat artikel ini ditulis. Rata-rata penonton turut meluahkan kesedihan masing-masing kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga.








