Tumpuan dunia kini terarah kepada konflik di antara Rusia dan Ukraine yang semakin membimbangkan, dengan Vladimir Putin dipercayai telah mengarahkan tentera untuk memasuki kawasan yang dikuasai Rusia di tenggara Ukraine.
Menerusi tinjauan di Twitter, kebanyakan wartawan atau koresponden juga dilihat terus berkongsikan maklumat terkini kepada warganet.
Bagaimanapun, video yang dimuatnaik oleh seorang wartawan, Philip Crowther menarik perhatian ramai apabila dia melaporkan keadaan semasa dari Kyiv, Ukraine dalam enam bahasa untuk enam stesyen penyiaran berita.
Rangkuman video itu menyaksikannya melakukan liputan dengan sangat lancar dan setiap bahasa yang dituturkannya kedengaran sangat sempurna.
Philip, 41, merupakan salah seorang International Affiliate Reporter untuk Associated Press (AP) dan dikenali sebagai polyglot, iaitu seseorang yang boleh berkomunikasi dalam lebih daripada satu bahasa secara aktif melalui pertuturan dan penulisan.
Dia yang mempunyai kerakyatan British, Jerman dan Luxembourg melaporkan berita dalam bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Jerman, Portugis dan Luxembourg untuk rakan kongsi penyiaran AP.
Sejak menyertai jabatan Perkhidmatan Media Global AP pada Mac 2019, dia telah membuat pelbagai liputan besar di seluruh dunia termasuk mengenai percubaan rampasan kuasa di Venezuela.
Beralih kepada video yang dikongsikan olehnya, rata-rata warganet meluahkan rasa kagum dan memuji kefasihannya bertutur dalam enam bahasa itu.
Sehingga kini videonya telah mendapat sebanyak 2.1 juta tontonan.






Sumber: Philip Crowther (1) (2)