KUALA NERUS, 16 Dis — Pengalaman membesarkan anak sulung yang menghidap penyakit ‘Cerebral Palsy’ membuatkan Azita Muhammad, 45, nekad menubuhkan persatuan khas sebagai platform memperjuangkan nasib kanak-kanak yang mengalami penyakit sama.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata Persatuan Anak Permata Syurga Terengganu yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu sehingga kini mempunyai 70 ahli di seluruh negeri itu.
“Kami melakukan aktiviti terapi urutan dua kali sebulan di rumah saya di Kampung Banggol Katong dekat Serada, Kuala Terengganu dengan bantuan 10 sukarelawan yang mempunyai kepakaran dalam bidang urutan.
“Setakat ini kanak-kanak Cerebral Palsy yang mengikuti teknik terapi urutan itu menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan saya berharap kesemua mereka mampu berdikari untuk menguruskan diri sendiri sepertimana anak sulung saya, Mohd Amirullah Mazlan, 22, yang mula mengikuti terapi urutan sejak usianya 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra dan persembahan amal terapi seni pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Program anjuran Pusat Kesenian dan Warisan UniSZA itu adalah antara program khidmat komuniti universiti tersebut dalam meraikan golongan OKU melalui pendekatan seni dan budaya sekaligus menyahut seruan Kementerian Pendidikan dalam menzahirkan Dasar Inklusif OKU di UniSZA.
UniSZA turut menjemput pakar terapi muzik dalam perubatan iaitu Dr V. Indra daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk berkongsi pengalaman dan maklumat kepada ibu bapa yang terlibat.
Azita yang juga pengerusi persatuan itu berkata pihaknya sangat teruja apabila UniSZA memaklumkan mahu menganjurkan program terapi seni sebagai pendedahan kepada ibu bapa agar mereka dapat memperkukuhkan kemahiran berkomunikasi dan koordinasi fizikal bersama anak istimewa masing-masing.
Program yang julung kali diadakan ini sangat bermanfaat untuk kami semua dan saya berharap ia akan diteruskan lagi pada masa akan datang, malah kanak-kanak Cerebral Palsy juga dilihat sangat teruja kerana dapat menunjukkan bakat kemahiran yang mereka miliki,” katanya.
Antara persembahan pelajar OKU UniSZA dan kanak-kanak Cerebral Palsy yang dipertontonkan kepada tetamu di majlis itu ialah nyanyian, instrumental muzik dan bacaan surah al Fatihah.
Bagi Rosnani Dollah, 46, pendedahan mengenai manfaat aktiviti terapi seni dan budaya kepada anak Cerebral Palsy adalah satu perkara baharu untuknya dan beliau tidak sabar mahu mencuba kaedah itu bersama anak ketiganya, Muhammad Ashraf Hakim Mohd Azmi, 16.
“Saya dan suami menghantar anak kami ke Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kerteh di Kemaman dan bercadang mahu menyertai lebih banyak program yang sesuai untuknya pada masa akan datang.
“Buat masa ini dia mampu membaca al fatihah dan beberapa surah lazim yang lain, pergaulan dengan rakan serta guru di sekolah juga sangat baik, cuma dia agak malu bila berdepan dengan individu yang tidak dikenalinya,” katanya yang berharap lebih banyak program seumpama itu dapat diadakan pada masa akan datang.
— BERNAMA