Ibu bapa adalah insan yang perlu kita sayangi dan hormati. Pengorbanan mereka dalam membesarkan anak-anak sehingga dewasa sangat besar dan tidak terbalas.
Walaupun begitu, masih ada sebilangan yang tidak berprikemanusiaan sanggup membiarkan mereka hidup sebatang kara.
Itulah yang didakwa terjadi kepada seorang warga emas berumur 93 tahun yang hidup sendirian di jalanan ini.
Akaun Instagram @fakta.indo ada berkongsikan video pendek berkenaan pertemuan seorang pemuda dengan seorang warga emas tersebut di sebuah jalan.
Hanya berbekalkan pakaian lusuh dan payung biru, warga emas tersebut kelihatan sedang berteduh dari hujan dan malam yang sejuk.

“Pakcik, buat apa di sini?” tanya pemuda itu.
“Hujan lebat,” jawab warga emas tersebut.
“Pakcik tinggal dengan siapa?” tanya pemuda itu lagi.
“Tidak ada, saya sendirian,” katanya.
Setelah bertanya, diketahui bahawa warga emas itu kini hidup sendirian. Dia didakwa telah ditinggalkan oleh anaknya sendiri dan terpaksa tidur di jalanan.

“Umur 93 tahun hidup sendirian, ditinggalkan oleh anaknya, tidur di jalanan,” tulis kapsyen dalam video tersebut.
Perkara tersebut dilaporkan telah berlaku sejak bertahun-tahun yang lalu. Untuk keperluan asas dan makanan, warga emas tersebut dikatakan hanya menunggu belas kasihan dari orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepadanya.
“Pakcik ini sudah hidup sendirian selama bertahun-tahun kerana ditinggalkan oleh anaknya. Tak mempunyai tempat tinggal dan setiap hari hanya menunggu belas kasihan dari orang ramai,” tulisnya.
Tubuhnya yang tidak lagi kuat seperti dulu harus dipaksa untuk menghadapi kenyataan dan kepahitan di masa tuanya.

“Sudah pukul 11 malam, pakcik ini belum makan lagi, dia sudah tidak kuat berdiri untuk waktu yang lama,” sambungnya.
Kerana kesian akan nasib pakcik itu, pemuda tersebut kemudiannya menghulurkan sedikit wang tunai kepadanya. Selepas menerima wang tersebut, pakcik itu terus mengucapkan terima kasih.
“Saya bukan orang sini pakcik. Saya berikan wang tunai sahaja ya,” katanya.
“Alhamdulillah,” balas pakcik itu.
Lelaki itu juga turut berharap agar anak-anak pakcik tersebut sedar berkenaan apa yang telah mereka lakukan kepada bapa mereka itu sambil memberikan pesanan yang tegas.
“Kepada anaknya: saya tidak tahu bagaimana keadaan anda, tetapi bagaimana anda sanggup membiarkan orang tua anda jadi seperti ini?” ujarnya.
Berikut adalah video pertemuan pemuda tersebut dengan pakcik itu:
Sumber: @fakta.indo/merdeka.com