Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara telah menerima laporan berkenaan kejadian pergaduhan yang melibatkan sekumpulan penduduk di kawasan rumah pangsa Kempas, Johor semalam, menurut Kenyataan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, YDH ACP Rupiah binti Abd Wahid, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku di antara dua buah keluarga yang berpunca daripada masalah peribadi. Kejadian tersebut dirakam oleh orang awam dan tular di media sosial.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak polis berjaya menahan seramai 10 orang saspek berusia 12-45 tahun dan dikenakan kompaun di bawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.
‘Pergaduhan yang berlaku sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata’, jelas kenyataan itu.


Sumber: Facebook Polis Daerah Johor Bahru Utara