Sebuah video yang memaparkan detik sebuah objek berwarna hijau menerangi langit di Turki.
Insiden aneh yang telah tular di media sosial itu menunjukkan sebuah objek menerangi langit di bandar Izmir, sebelum hilang di sebalik kepulan awan dengan cahaya yang terang.
Kejadian pelik tersebut telah menggemparkan penduduk serta telah menimbulkan spekulasi bahawa objek itu adalah satelit yang jatuh atau objek terbang yang tidak dikenali (UFO).
Menurut portal india.com, kejadian itu dilaporkan berlaku di bandar Izmir di Turki sekitar jam 2 pagi pada Sabtu, 31 Julai.
Salah satu daripada video yang tular itu menunjukkan objek dipercayai ‘meteor’ yang memasuki ruang udara Bumi dan menukar warna langit menjadi hijau selama beberapa saat.
Satu lagi video menunjukkan sinaran meteor berwarna putih kehijauan.
Video yang telah menjadi tular itu berjaya menarik perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia. Walaupun ramai yang berpendapat bahawa ianya adalah satelit atau hanya benda asing dari galaksi, yang lain percaya bahawa ianya adalah makhluk asing.
“UFO telah dilihat di langit #PrayforTurkey,” tulis seorang warganet.
Walau bagaimanapun, seorang profesor astrofizik Turki Dr Hassan Ali Dal menafikan teori-teori ini dan menjelaskan penerangan yang muda untuk insiden yang luar biasa ini.
Dalam ciapannya di Twitter, dia menyatakan bahawa peristiwa yang dikenali sebagai ‘bola api’ itu berlaku ketika meteor mulai terbakar di atmosfera.
“Biasanya terbakar di atmosfera atas. Ia harus dianggap sebagai versi fenomena yang lebih spesifik yang dikenali sebagai ‘shooting star’ di kalangan masyarakat dan sering terjadi semasa hujan meteor,” tulisnya.
Meteor boleh menjadi sebahagian daripada ‘Perseid Meteor Shower’, yang berlaku pada setiap tahun sepanjang bulan Julai dan Ogos.
Sumber: India.com