Semua umat islam di negara ini sedang sibuk merayakan sambutan hari raya aidiladha. Namun kemeriahan sebuah keluarga di Kampung No.5, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kuching bertukar sebaliknya apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.
Menerusi satu laporan portal berita, sebuah rumah kayu setingkat yang didiami sembilan sekeluarga terbabit telah musnah terbakar 100 peratus dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.04 petang tadi.
Semasa kejadian, pemilik rumah berkenaan, Saodah Asma, 60-an, berkata, dia bersama cucunya sedang menonton televisyen. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan jeritan anaknya yang mengatakan bahagian dapur kediaman mereka telah terbakar.
Tanpa berlengah lagi, dia terus membawa anak-anak dan cucu keluar dari rumah pusaka keluarga mereka kerana api marak dengan begitu cepat.
Dia yang tidak mampu melakukan apa-apa, bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat walaupun semua harta benda telah habis dijilat api dalam sekelip mata, menurut laporan.
Berdasarkan maklumat, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.05 petang.
Sepasukan 23 anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, BBP Batu Lintang dan BBP Petra Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi memadam kebakaran.
Malangnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kebakaran, komander operasi berkata bomba hanya dapat mengawal api daripada merebak kerana rumah berkenaan telah habis musnah terbakar.
Punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian akibat kejadian itu masih lagi berada dalam siasatan.