Membantu orang lain yang berada dalam kesusahan merupakan satu amalan yang baik. Selain memberi kemudahan kepada golongan yang dibantu, diri sendiri dan orang lain juga dapat menikmati faedah daripada pertolongan yang dihulurkan.
Situasi ini ditunjukkan dengan jelas menerusi rakaman seorang individu yang membantu seorang lelaki tua sedang melintas jalan. Perbuatan terpuji lelaki tersebut telah berjaya dirakam oleh salah seorang pemandu, H. Leonardi yang betul-betul berada di hadapan orang tua berkenaan.
Menerusi rakaman tersebut, seorang lelaki yang merupakan pemandu kurier DHL Express Singapore telah membantu lelaki tua tersebut untuk melintas jalan. Lelaki tersebut bertindak mendukung lelaki tua itu supaya pergerakan menjadi lebih cepat. Tindakan pantas pemandu DHL itu telah menyebabkan lalu lintas menjadi lancar semula.
Pemandu tersebut yang dikenali sebagai Anson Chung, 40 tahun telah memberitahu dia sedang dalam perjalanan untuk menghantar barang dan terlihat lelaki tua itu sedang bergelut untuk melintas jalan. Tambahnya lagi, dia hanya ingin membantu lelaki tersebut menyeberangi jalan dengan selamat supaya dapat pulang ke rumah dengan selamat. Walau bagaimanapun, dia tidak menyedari perbuatannya itu dirakam dan telah menjadi tular.
Berikutan itu, pengarah urusan DHL Express Singapore, Christopher Ong berkata bahawa dia berbangga mempunyai pekerja yang baik seperti Anson Chung.
Sumber: Stomp