Seorang wanita yang berasal daripada Riau, Indonesia bernama Vera Novita dilaporkan hadir ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya.
Rakannya yang bernama Edi Syahputra mengakui bahawa dia kagum dengan keberaninan dan kecekalan Vera.
Video yang dikongsikan oleh Edi di akaun TikTok @edi_sph pada Khamis itu telah ditonton lebih 6 juta kali.
Dia menyatakan bahawa majlis perkahwinan tersebut berlangsung pada hari Selasa (25/5/2021).

Vera dan bekas kekasihnya itu dilaporkan telah menjalinkan hubungan selama dua tahun.
Mereka berdua kemudiannya memutuskan untuk mengakhiri hubungan mereka pada tahun lalu.
Menurut Edi, sebelum itu hubungan mereka telah berada di tahap yang serius.
“Iya (sudah serius), tetapi mereka belum merancang lagi untuk berkahwin,” katanya.
“Dulu semasa mereka sedang bercinta, mereka pernah berbincang tentang bernikah, tapi belum merancangnya lagi,” sambungnya.

Dia mendedahkan bahawa reaksi Vera adalah biasa saja ketika dia bertemu dengan pengantin lelaki.
Ianya kerana, kedua-duanya masih berkawan baik walaupun sudah berpisah.
“Reaksinya ketika bertemu bekas kekasihnya itu adalah normal, dia diam,” kata Edi.
Namun begitu, Vera menunjukkan reaksi yang berbeza ketika dia bertemu bekas calon mertuanya.
Wanita tersebut menangis ketika dipeluk oleh ibu bekas kekasihnya itu.
“Ketika saya datang ke majlis perkahwinan itu, kawan saya ini bersalaman dengan ibu pengantin lelaki berkenaan.”
“Ibunya menangis dan Vera juga tidak dapat menahan emosinya,” katanya.
Mengenai video yang tular itu, Edi tidak menyangka bahawa perkongsiannya itu telah ditonton sebanyak jutaan kali.

Sama sepertinya, Vera juga terkejut kerana kisahnya itu menjadi tular.
“Saya terkejut, saya juga tidak menyangka bahawa ramai yang mempunyai pengalaman sebegitu,” ungkapnya.
“Vera juga terkejut kenapa ramai yang pernah merasakan benda yang sama,” tambahnya.