(Video) TERKINI: Dua Letupan Besar Gegar Lapangan Terbang Kabul Di Afghanistan, Sekurang-kurangnya 11 Maut Setakat Ini

Sofea

Dua letupan besar dilaporkan telah berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul pada Khamis ketika Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain sedang berusaha membawa keluar warganegara mereka dari Afghanistan.

Menurut CNN, laporan awal mendapati bahawa ada beberapa anggota tentera AS yang turut menjadi mangsa dalam kejadian itu.

“Sekurang-kurangnya satu letupan lain berlaku berhampiran Hotel Baron iaitu tidak jauh dari Abbey Gate,” kata jurucakap Pentagon, John Kirby.

Sementara itu, tiga sumber memberitahu kepada CBS News bahawa seorang pengebom berani mati bertanggungjawab di atas letupan di Abbey Gate.

AS dan Britain sebelum ini telah memberi amaran kepada warganegara mereka untuk tidak pergi ke lapangan terbang Kabul kerana ancaman keganasan di luar pintu pagar fasiliti itu.

Menurut laporan awal, sekurang-kurangnya 11 orang dilapor terkorban setakat ini.

Dalam pada itu, seorang pegawai AS menuduh ISIS bertanggungjawab dalam insiden berkenaan, lapor USA Today.

Sumber: CNN, CBS News