Seorang lelaki dilaporkan telah meninggal dunia setelah melompat dari tebing setinggi 120 kaki dan secara tidak sengaja mendarat di atas sebuah bot.
Menurut Daily Mail, insiden tersebut berlaku di Raouche Rocks di Beirut, Lubnan pada Ahad lalu.
Mangsa yang merupakan seorang warga Syria dikatakan tidak mendengar suara amaran yang dilaungkan oleh pelancong-pelancong yang terdapat di dalam bot.
Baru saja menyusur keluar dari terowong di bawah tebing, bot tersebut mungkin tidak dapat dilihat dengan jelas oleh mangsa.
Dentuman yang kuat kedengaran semasa mangsa terjatuh di atas bot tersebut, ia menyebabkan kecederaan yang teruk di bahagian kepalanya.
Ejen dari Pertahanan Awam Lubnan telah membawa lelaki itu ke hospital dan dia disahkan meninggal dunia.
Pemandu bot juga turut dibawa ke hospital tetapi tidak dinyatakan mengenai kecederaan yang dialami olehnya.
Raouche Rocks menjadi lokasi yang sangat popular dalam kalangan masyarakat di negara tersebut kerana ia ‘menyediakan’ pemandangan yang menawan, di samping boleh melakukan aktiviti menyelam dari tebing bukit.
Sumber: Daily Mail