Selepas kehilangan anak gadisnya yang meninggal dunia pada usia 19 tahun, Nining Nigsihrat tidak dapat menahan sebak apabila bertemu dengan seorang gadis mirip arwah lebih dua dekad kemudian.
Kongsi Kompas.com, ibu kepada penyanyi Indonesia, Allahyarham Nike Ardilla itu dilihat beberapa kali mengesat air matanya sambil menggenggam tangan gadis bernama Amel yang mirip arwah.
Menerusi video saat pertemuan mereka, Amel dirakam menyuap wanita warga emas itu yang sedang duduk di atas kerusi roda. Dia juga dilihat memeluk dan mengelap air mata ibu tua berkenaan menggunakan tisu bagaikan seorang anak melayani ibunya sendiri.
Detik penuh emosi itu telah menarik jutaan penonton termasuk para peminat Allahyarham di media sosial, lapor portal tersebut.
‘Jodoh’ bermula dari tepi jalan
Pertemuan Siti Aisyah Mardhiya Amalia (Amel) dengan wanita itu berlaku selepas gambar gadis itu ber’posing’ di tepi jalan menjadi tular di media sosial.
Lapor Tribunnews Maker, gadis itu telah didekati seorang jurugambar untuk dijadikan subjek fotografi bertemakan jalanan.
Selepas berjalan di stesen MRT Dukuh Atas, lelaki berkenaan telah bertemu Amel bersama kakaknya yang sedang duduk sebelum mendekati mereka.
“Awalnya saya tawarkan kepada si kakak untuk mengambil gambar. Cuma dia tawarkan untuk mengambil gambar adiknya,” kata Taufik Akbar, jurugambar yang mengambil foto gadis tersebut.
Sebaik sahaja Amel membuka topeng muka dipakainya, jelas Taufik, dia berasa terkejut melihat wajah gadis berkenaan.
“Wah, cik mirip Nike Ardilla,” ujarnya.
Biarpun pada awalnya Amel menolak untuk dijadikan model, dia akhirnya bersetuju selepas dipujuk si kakak.
Saat pertemuan Taufik dengan gadis itu telah dikongsikan di media sosial dan mendapat perhatian para pengikutnya.
Sumber: Kompas.com, Tribunnews Maker, @herdianz, @kipotart