Gambar: FB Kedah Kini

(Video) Sempat Dirakam Kejadian Sebelum Dan Semasa Kepala Air ‘Serang’ Bukit Wang, Jitra Petang Semalam

Aireena Marizan

Kepala air atau sumber sungai yang bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun menuju ke sungai utama. Biasanya ia berpunca daripada hujan lebat di hulu sungai.

Kepala air ini juga sangat besar dan deras hingga ia boleh membawa segala macam kelodak, batu dan juga kayu balak. Ia akan merempuh apa jenis halangan dihadapannya.

Menerusi perkongsian daripada Facebook Kedah Kini dapat dilihat kejadian sebelum dan keadaan semasa terjadinya kepala air yang berlaku di Bukit Wang, Jitra petang semalam. Hal ini berlaku akibat hujan berterusan di kawasan air terjun berkenaan.

Sehingga kini, memetik laporan Astro Awani, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain ketika ditemubual memberitahu pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6 petang terdapat individu terperangkap dalam kejadian kepala air.

“Setakat ini kita dimaklumkan mangsa terperangkap di atas kawasan air terjun di Bukit Wang dan anggota dari Unit Must Team dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) berada di lokasi untuk penyelamatan.

“Pada masa sama, kita turut menerima panggilan yang terdapat 16 mangsa terperangkap akibat banjir di atas bukit di Batu Sungai Changlun, Bukit Kayu Hitam,” katanya

Justeru itu, fenomena kepala air ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan keselamatan dan juga nyawa anda. Orang ramai juga dinasihat untuk elakkan sebarang aktiviti-aktiviti di sungai mahupun air terjun pada musim tengkujuh ini.

Sumber: FB Kedah Kini, Astro Awani