Berita mengenai nasib kanak-kanak lima tahun, Rayan Oram yang terperangkap di dalam perigi di sebuah kampung di Maghribi mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia.
Rata-rata warganet turut mendoakan agar kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan dari perigi sedalam 32 meter itu.
Memikirkan keadaannya yang duduk seorang diri di dalam perigi tersebut selama berhari-hari, sesiapa sahaja pasti akan merasa sedih dan tidak mampu untuk menahan perasaan.
Semalam, tular satu video di TikTok yang mendakwa bahawa seorang penyampai berita menangis teresak-esak ketika melaporkan mengenai kisah Rayan secara langsung.
Menerusi video itu, penyampai tersebut tidak dapat meneruskan kata-katanya dan mengalirkan air mata. Di belakangnya tertera skrin yang memaparkan gambar Rayan dan maklumat mengenai tragedi yang menimpa kanak-kanak itu.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat sebanyak 3.5 juta tontonan di TikTok.
Sementara itu, Rayan dilaporkan telah meninggal dunia selepas dibawa keluar dari perigi tersebut pada Sabtu.
Berita kematian itu telah disahkan oleh pihak diraja Maghribi menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan awal pagi ini.
Rayan dilaporkan telah terjatuh ke dalam perigi itu pada Selasa tanpa disedari oleh bapanya yang sedang membaiki perigi pada ketika itu.
Operasi menyelamatkannya menghadapi beberapa kesukaran terutama terdapat risiko berlakunya tanah runtuh di dalam perigi sempit itu yang boleh membahayakan nyawa kanak-kanak terbabit.
Sumber: mm_app