Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan berlakunya ‘pengkhianatan’ terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mungkin menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan dalam masa terdekat.
Menerusi tazkirah yang disiarkan secara langsung di Facebook Parti Keadilan Rakyat, Anwar yang berada di kediamannya di Kampung Segambut Dalam, Kuala Lumpur berkata, menerusi maklumat yang diterima beliau, perubahan tersebut berkemungkinan berlaku esok.
Menurut beliau, percubaan menjatuhkan PH untuk menubuhkan kerajaan baharu itu membabitkan kerajaan Bersatu dan segelintir pihak dari parti PKR.
Terdahulu, beberapa mesyuarat tertutup melibatkan parti-parti politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang telah berlangsung sejak awal pagi tadi.
Semua mesyuarat tersebut telah menarik perhatian media susulan kontroversi pemimpin PH terutama daripada Amanah dan DAP yang dikatakan menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh bagi menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Amaran juga dikatakan telah dikeluarkan oleh pemimpin Bersatu untuk mempertimbangan keputusan keluar dari PH sekiranya mereka terus menekan Dr Mahathir.
Namun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat malam ini.
Sumber: Parti Keadilan Rakyat