Gambar: tabula.ge

(Video) Ratusan Biri-biri Ditemui Mati Bergelimpangan, Dipercayai Dipanah Petir

Aqmal Ezany

Sekurang-kurangnya 530 ekor kambing biri-biri dilaporkan ditemui mati di Gunung Abul, Georgia pada 9 Ogos yang lalu.

Sebahagian daripada kambing biri-biri yang mati adalah milik petani tempatan dari desa Tambovka di Daerah Ninotsminda serta petani dari Kakheti, Georgia.

Seorang petani dari Tambovka, Nikolai Levanov, dilaporkan memiliki 600 ekor kambing biri-biri yang terdapat di Gunung Abul tersebut.

Bersama dengan kambing biri-biri Nikolai, terdapat kira-kira 900 ekor kambing biri-biri lagi milik petani Kakheti di gunung yang sama juga.

Pada tanggal 9 Ogos, petani tersebut telah dimaklumkan oleh seorang penternak bahawa sekitar pukul 5 petang waktu tempatan, kawanan kambing biri-birinya telah terjatuh dari gunung tersebut akibat daripada panahan petir yang melanda di kawasan terbabit.

Dilaporkan bahawa sebanyak 530 ekor kambing biri-biri mereka telah mati, dengan 160 di antaranya adalah milik Nikolai.

Kawasan padang rumput itu difahamkan terletak di gunung sejauh 5 kilometer dari kampung Tambok.

Difahamkan bahawa, nilai seekor kambing biri-biri boleh mencecah sehingga 350 GEL (RM 481).

Ekoran daripada itu, Nikolai Levanov terus melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan bantuan.

Menurut laporan, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di dewan bandar untuk menilai jumlah kerosakan berikutan daripada kejadian tersebut.

Sumber: Jnews