Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan maut selepas lima negeri di Amerika Syarikat dilanda 19 puting beliung dahsyat, semalam.
Memetik laporan CNN, kejadian itu juga telah menyebabkan banyak kerosakan kepada bangunan dan rumah penduduk.
Pusat Ramalan Ribut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan berkata puting beliung itu berlaku di Arkansas, Missouri, Tennessee, Kentucky dan Illinois.
“Lebih 55 juta orang di seluruh negara berada dalam risiko selepas dilanda ribut yang teruk pada Jumaat,” kata agensi itu.
Selain dua yang terkorban, beberapa orang penghuni di sebuah rumah jagaan di Arkansas juga dilaporkan mengalami kecederaan yang parah selepas dilanda puting beliung itu.
“Semua orang telah dibawa keluar dari rumah jagaan tersebut dan telah dihantar ke hospital tempatan untuk menerima rawatan,” kata datuk bandar, Bob Blankenship.
Sementara itu, beberapa orang turut terperangkap di bawah struktur bangunan yang runtuh di Tennessee dan Illinois. Namun, keadaan mereka masih belum diketahui.
Malah, sekurang-kurangnya 157,000 orang di enam negeri telah terjejas akibat ketiadaan sumber elektrik.
“Ribut yang dinamik dan luas ini akan memberi kesan kepada lebih separuh negara ini dan ia adalah pertembungan klasik jisim udara,” kata pakar meteorologi.
Dalam pada itu, pengguna media sosial di negara itu telah memuatnaik rakaman detik-detik ketika puting beliung itu melanda.
Sumber: CNN