Seperti yang diketahui, pihak berkuasa Iraq telah mengenakan perintah berkurung di Baghdad dalam usaha untuk menamatkan protes.
Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi berkata aktiviti bantuan kemanusiaan dan pergerakan pelancong masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Baghdad adalah dibenarkan.
Pihak berkuasa Iraq turut mengumumkan perintah berkurung di wilayah Dhi Qar, Maysan, Najaf dan Babil.
Malah, banyak video tembakan penembak tepat berlegar-legar di dinding media sosial menyaksikan kejadian sadis yang sedang berlaku di sana. Terdengar jelas suara sahut menyahut yang berkata, “Cedera, cedera, cedera”
Terbaru, sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh sejak tunjuk perasaan antikerajaan meletus di seluruh Iraq pada awal minggu ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan kementerian kesihatan negara itu.

Lebih 2,500 orang turut cedera sejak tunjuk perasaan bermula pada 1 Oktober di Baghdad dan wilayah selatan negara itu, kata seorang pegawai kementerian terbabit yang enggan dikenali.
Anggota pasukan keselamatan adalah antara yang terkorban, kata pegawai itu tanpa memberikan angka yang tepat.
Penunjuk perasaan yang berang menyerbu majlis wilayah di Al-Diwaniyah yang didominasi puak Syiah di selatan Iraq pada Jumaat, menurut seorang pegawai polis.
Sumber: Al Jazeera , The Washington Post & BERNAMA