
Buah hati kesayangan ramai rakyat Malaysia, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang membuang ketumbuhan dalam mulut di London, United Kingdom (UK) lebih kurang setahun lalu akibat kanser ‘Germ Cell Tumor’ , kini sudah mampu menuturkan perkataan pertama.
Menerusi video pendek yang dimuat naik oleh bapa Ainul, Ahmad Safiuddin, menerusi facebooknya sebentar tadi, Ainul yang semakin tembam dan comel itu dilihat mengungkapkan perkataaan ”mama…”.
”First word Ainul ”mama”. Alhamduillah,” demikian menurut Ahmad Safiuddin di video tersebut dan dibanjiri dengan komen daripada netizen yang terharu dengan perkembangan Ainul.
”Alhamdulillah.. sayang aunty sentiasa dalam ingatan dan doa aunty, semoga Ainul Mardhiah membesar dengan sihat, dilindungi diberkati..,” tulis seorang individu.
Kisah Ainul Mardhiah mendapat perhatian ramai apabila dia dibawa terbang jauh ke hospital kanak-kanak di London, UK pada 10 Jun 2019 bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut.
Pembedahan itu berjaya dilakukan oleh sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diketuai Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain turut dibantu pelatih pakar bedah UK, Dr Nur Amalina Che Bakri.
Sumber: Ahmad Safiuddin