Tular satu video di Indonesia yang memaparkan proses suntikan vaksin ke atas seorang kanak-kanak, yang didakwa tidak dapat menembusi kulit bahunya.
Memetik laporan Suara.com, kanak-kanak tersebut berasal dari suku kaum Baduy yang didakwa mempunyai ilmu kebal.
Menerusi video tersebut, kanak-kanak yang memakai baju sekolah itu dilihat sedang duduk di atas kerusi dan bersedia untuk disuntik.
Pun begitu, ketika petugas kesihatan ingin menyuntiknya, jarum suntikan vaksin itu tidak dapat menembusi kulitnya. Kanak-kanak itu juga nampak kebingungan dan berulang kali memandang ke arah petugas itu setelah vaksinasi tersebut tidak berjalan lancar.
Video yang dimuatnaik oleh seorang individu di Twitter itu mendakwa bahawa ramai ibu bapa yang telah ‘membekalkan’ ilmu kebal kepada anak-anak mereka.
“Pejabat Kesihatan Wilayah Banten menghadapi kesukaran ketika menyuntik vaksin untuk kanak-kanak dari suku Baduy kerana kebanyakan dari mereka dilengkapi dengan ilmu kebal oleh ibu bapa mereka,” kata kapsyen di video tersebut.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat jutaan tontonan di media sosial dan dibanjiri dengan pelbagai komen dari netizen.
Sumber: Suara.com