Curiga kerana makanan seringkali hilang, seorang lelaki telah membuat penemuan mengejutkan apabila mendapati seorang wanita tinggal di dalam almari rumahnya.
Menurut Daily Star, lelaki tersebut telah meletakkan kamera tersembunyi di rumahnya bagi menyiasat punca kehilangan barangan makanannya.
Hasilnya, dia menyaksikan kelibat seorang wanita keluar daripada sebuah ruangan tinggi di dalam almari sebelum berhati-hari turun ke bawah.
Wanita itu kemudiannya dirakam menuju ke sinki dan didakwa membuang air di dalamnya sebelum membuka peti sejuk untuk mengambil makanan.
Tambah portal itu, suspek juga dilihat duduk di atas sofa sambil menonton televisyen sebelum mengambil snek di dalam peti sejuk dan pulang ke ‘lokasi persembunyian’.
Lantaran itu, pemilik rumah tersebut telah menghubungi pihak polis bagi menahan pelaku berkenaan.
Hasil siasatan, dipercayai wanita itu telah tinggal di dalam almari itu selama dua minggu.
“Saya tak tahu macam mana dia boleh masuk ke situ. Satu-satunya laluan masuk ialah melalui tingkap kerana saya berada di tingkat atas dan ada laluan kecemasan,” kata lelaki itu.
“Pihak polis percaya dia datang untuk merompak saya, bila saya tiada, dia putuskan untuk terus tinggal di ruangan berkenaan.
Video itu telah dirakam pada 2009 namun kembali tular selepas mendapat lebih 20 juta tontonan di laman Youtube setakat artikel ini ditulis.
Sumber: Daily Star