IPOH, 22 April (Bernama) — Pasangan badak air, Jiwang dan Juwita selamat disatukan dalam satu upacara ‘perkahwinan’ bercirikan adat Melayu tradisional yang diadakan di Hippo Kingdom di Lost World Of Tambun (LWOT) di sini, semalam.
Jiwang yang berusia kira-kira 10 tahun, seberat satu tan manakala Juwita berusia 21 tahun seberat 1.4 tan itu diraikan dengan kehadiran kira-kira 100 hadirin memeriahkan penyatuan dua jiwa pasangan mamalia itu.
Upacara secara ringkas itu diserikan dengan kedua-dua ‘mempelai’ dibawa masuk diiringi dengan paluan kompang dan bunga manggar serta beberapa dulang hantaran turut disediakan berserta dengan acara makan beradab.
Para tetamu yang hadir dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan turut diberikan ‘bunga telur’ selain disajikan dengan pelbagai hidangan lauk kenduri kahwin antaranya nasi minyak, ayam masak merah, udang goreng berempah, kari kambing, ikan percik, acar rampai dan manisan mulut.
Pengurus Besar Lost World Of Tambun (LWOT) Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata pihaknya melakukan pelbagai persiapan untuk upacara ‘perkahwinan’ itu sejak November tahun lalu kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
“Kami perlu mendapatkan eksibit dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak bagi membolehkan kedua-duanya dapat tinggal bersama dalam satu kandang yang sama kerana badak air merupakan haiwan yang sangat agresif dan bahaya di Afrika.
“Kami juga telah melakukan pencarian pasangan sejak lima tahun lalu untuk Juwita sejak dibawa ke LWOT. Bukan mudah untuk mencari pasangan Juwita kerana badak air jantan tidak boleh daripada genetik yang sama, khuatir boleh menyebabkan bakal anak badak air yang dilahirkan cacat atau tidak boleh hidup dalam tempoh yang lama,” katanya pada sidang media selepas upacara berkenaan.
Jiwang pula merupakan sejenis ‘alpha hippo’ yang baru sahaja dibawa dari Pahang sejak tiga bulan lepas sekali gus kehadirannya mengubat kesunyian ‘kisah cinta’ Juwita yang selama ini mencari pasangan untuk berkongsi perasaan, hiburan dan makanan.
Sumber: BERNAMA, LWOT