Kebanyakan negara di seluruh dunia kini sedang berusaha menggerakkan proses vaksinasi besar-besaran dalam kalangan rakyat. Ianya tidak lain tidak bukan adalah untuk mewujudkan ‘herd immunity’, sekaligus mampu mengurangkan penularan virus.
Setiap negara pasti berbeza kaedah dan prosedurnya. Kadar pemberian vaksin pula mungkin bergantung kepada keadaan lokaliti dan statistik jangkitan semasa. Dalam masa sama, tempoh yang diambil juga berbeza-beza.
Tahukah anda, di Jepun terdapat sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) yang berjaya menjalankan proses vaksinasi dalam tempoh yang cukup pantas. Malah dikatakan jauh lebih pantas berbanding mana-mana PPV yang lain.
Seorang wartawan agensi berita AFP warganegara Jepun, Natsuko Fukue memuat naik satu video yang memaparkan suasana pemberian vaksin COVID-19 di sebuah PPV di Umi, bandar Fukuoka, Jepun.
Video itu hanya berdurasi 10 saat sahaja namun apa yang menariknya, ia menunjukkan kepada kita situasi sebenar proses pemberian vaksin yang sangat pantas dan cukup praktikal.
Jelas Natsuko, PPV tersebut mampu memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada 120 orang dalam tempoh satu jam sahaja. Diulangi, 120 orang dicucuk dalam masa satu jam sahaja, dipercayai lebih pantas lapan kali ganda berbanding sebelum itu.
Video pendek sedutan daripada berita itu cukup menarik perhatian ramai netizen, rata-rata mereka teruja dengan langkah yang diambil PPV berkenaan.
Ramai netizen berpendapat, kepantasan vaksinasi sebegitu lebih mudah, sekaligus membuatkan misi ‘herd immunity’ dapat dicapai lebih cepat.
Dalam masa sama, ada juga netizen dari Malaysia berpendapat langkah ini mungkin boleh diguna pakai di negara ini. Namun pendapat itu disangkal oleh netizen Malaysia yang lain, kerana dakwa mereka sistem pengurusan vaksin kita pun lebih profesional.
Sumber: Twitter Natsuko Fukue