Biasanya pekerja-pekerja penghantaran makanan akan lebih ‘rancak’ bertugas mencari rezeki ketika waktu tengah hari dan petang. Ini kerana ia adalah waktu kemuncak untuk pelanggan memesan makanan.
Tapi berbeza dengan apa yang dirakam di Hulu Langat ini apabila beberapa orang penghantar makanan (rider) dilihat gigih membawa pelbagai barangan bantuan di dalam beg mereka, dipercayai mahu dihantar kepada mangsa banjir.
Video berdurasi satu minit 26 saat itu dirakam dan dimuat naik oleh penyampai berita, Akbar Sahari menerusi akaun Twitternya kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Allahuakbar! Abang-abang Grab, Foodpanda, Shopee Food, Lalamove sanggup tinggalkan tugas hakiki demi bantu NGO hantar makanan dan keperluan kepada mangsa banjir di Hulu Langat.
“Dari pagi sampai malam. Gaji zero tapi pahala 100 peratus InsyaAllah,” katanya dalam perkongsian itu hari ini.
Difahamkan, beliau ketika itu dalam perjalanan untuk menuju ke perkampungan Orang Asli, dipercayai bagi menjalankan misi bantuan untuk mangsa banjir di sana.
Sumber: Twitter Akbar Sahari