OpenAI perkenal sora
Kredit: OpenAI

Video Nampak “Real”, OpenAI Perkenal Sora

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Video Nampak “Real”, OpenAI Perkenal Sora

Pencipta ChatGPT dan penjana imej DALL-E, OpenAI memperkenalkan Sora, yang mampu menghasilkan video kecerdasan buatan (AI) bersifat realistik melalui arahan ringkas dalam bentuk teks, lapor AFP.

Syarikat yang disokong Microsoft itu menjelaskan bahawa platform baharu itu sedang dalam fasa pengujian. Sungguhpun begitu, ia tersedia untuk dicuba oleh beberapa kelompok khususnya artis visual dan pembuat filem untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka.

“Sora dapat menjana video yang berdurasi lebih daripada seminit. Pada masa yang sama, ia masih mengekalkan kualiti visual serta mematuhi kehendak pengguna,” kata OpenAI dalam laman web.

Dalam pada itu, Sora juga dikatakan mampu menjana adegan yang kompleks dengan pelbagai watak, jenis gerakan tertentu dan latar belakang. Lebih unik, model tersebut juga memahami bagaimana sesuatu perkara itu wujud dalam dunia fizikal.

Malah, ia mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai bahasa, sekali gus membolehkannya mentafsir arahan dengan tepat dan menjana watak menarik yang menyatakan emosi dengan penuh semangat.

Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman menerusi laman X berkata, syarikat ini telah menawarkan akses terhad kepada pencipta video sewaktu fasa ini.

Beliau turut menjemput para pengikutnya di laman X untuk memberikan cadangan arahan bagi menghasilkan video AI secara rawak.

Altman kemudiannya telah memuat naik video yang dihasilkan berdasarkan arahan tersebut menerusi laman yang sama.

Ini termasuk video pendek yang memaparkan dua ekor anjing yang sedang mengadakan rancangan podcast di kawasan pergunungan.

Salah satu video yang dihasilkan memaparkan entiti separa itik dan naga sedang terbang di langit ketika matahari terbenam sambil membawa seekor hamster yang mengenakan pakaian untuk mengembara di belakang badannya.

OpenAI berusaha untuk mengatasi kekurangan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh model ini

Sungguhpun hasil video janaan AI ini menakjubkan, syarikat yang berpangkalan di San Francisco tersebut menyatakan masalah yang dihadapi model ini.

Antaranya, video yang dihasilkan model ini memiliki bahagian yang mengelirukan pada belah kiri dan kanan. Dengan erti kata lain, model ini masih gagal mengekalkan kesinambungan visual sepanjang video yang dihasilkannya.

Dalam satu pengumumannya, syarikat berkenaan berkata bahawa keselamatan merupakan salah satu kunci utama bagi Sora. Model ini dijangka bakal mengalami pelbagai masalah dari pengguna yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat beberapa kemungkinan bahawa terdapat pengguna yang bakal menghasilkan kandungan yang melanggar etika serta bertindak di luar kawalan.

“Kami sedang berhubung dengan para pembuat polisi, pendidik dan artis dari seluruh dunia bagi memahami kebimbangan masing-masing serta mengenal pasti kebaikan yang dapat diperolehi dari teknologi baharu ini,” kata OpenAI.

Pada masa yang sama, beberapa pihak lain turut berusaha untuk mencapai objektif yang serupa seperti penghasilan model Sora.

Meta, Google dan Runaway AI dilaporkan turut berkerjasama bagi menghasilkan teknologi penghasilan video AI menerusi arahan dalam bentuk teks.

Seperti OpenAI dan model Sora yang dihasilkannya, pihak ini telah menyiarkan hasil output yang serupa dari model yang dihasilkan.

BACA: Jangan Biar Kereta Tersadai, “Check” Tiga Benda Ni Lepas Lalui Perjalanan Jauh

Sumber: AFP, OpenAI