Minyak masak merupakan keperluan yang sangat penting untuk setiap isi rumah. Malah, kebanyakan makanan di negara ini sememangnya disediakan dengan menggunakan minyak masak.
Bagaimanapun jika suatu hari nanti kita terputus bekalan minyak masak, mungkin cara penyediaan makanan perlu diubah atau menggunakan bahan lain yang turut mempunyai fungsi yang sama seperti minyak.
Bercakap mengenainya, seorang pengguna TikTok, @lurvelove berkongsikan mengenai satu trick yang boleh dilakukan ketika tiada minyak untuk menggoreng keropok.
Menerusi video itu, dia dilihat telah menggunakan garam untuk menggantikan minyak dan berjaya menggoreng keropok keping tersebut.
Proses memasaknya mungkin agak lama tetapi hasilnya sama saja seperti menggoreng menggunakan minyak.
Difahamkan, garam yang digunakan ialah garam kasar yang tidak cair dan tidak masin.
“Boleh buat banyak-banyak (goreng keropok), tambah kuantiti garam itu saja dan garam kena betul-betul panas.
“Cara ini boleh dilakukan untuk makanan kering sahaja,” katanya.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat sebanyak 2.1 juta tontonan di TikTok.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang teruja melihat cara masakan tersebut dan ada juga yang tertanya-tanya mengenai kemasinan garam yang digunakan.


Sumber: lurvelove