
Bila bercakap pasal kahwin, terbayang majlis yang meriah dihadiri sanak saudara dan sahabat handai. Sekali seumur hidup la katakan, kalau boleh setiap pasangan pengantin mesti nak adakan majlis yang gilang-gemilang.
Namun lain pula ceritanya dengan pasangan merpati dua sejoli ini. Kerana majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan ekoran bencana banjir, pasangan pengantin ini nekad buat kenduri di pusat pemindahan banjir.
Momen-momen ‘kenduri’ pasangan ini turut dimuatnaik di laman TikTok salah seorang krew katering yang dikenali sebagai Erin. Video berkenaan sempat mendapat sorotan warga net sehingga ditonton sebanyak 493.4 ribu kali di TikTok setakat ini.
Menurut kemaskini pengunggah dalam video berkenaan, majlis pasangan tersebut sepatutnya berlangsung pada 19 Disember di Grand Gerbang Hall, Meru, Klang. Namun pasangan itu bertindak menjamu mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, dibantu oleh pihak katering.
Pengunggah ketika dihubungi berkata, pengantin yang juga penduduk di kawasan Meru terpaksa membatalkan majlis mereka yang sepatutnya dihadiri 1,000 jemputan. Oleh kerana pengantin sekeluarga terjejas banjir, mereka turut dipindahkan di PPS SMK Meru.
“Kami pihak katering dah masak separuh dan ada bahan mentah untuk majlis mereka.
“Mereka (pihak pengantin) tanya kami sama ada boleh atau tidak sediakan juadah untuk 300 orang, daripada membazir buang bahan mentah.
“Jadi pihak katering pun setuju masak untuk 300 orang ahli keluarga pengantin sebab kebanyakan ahli keluarga mereka orang kawasan situ.
“Tapi sebab masakan untuk 300 orang tu tak cukup, kami selesaikan juadah untuk lagi 300 orang atas tujuan sedekah dan masak lebih untuk topup yang lain juga,” jelas Erin.
Tambah Erin, pihaknya turut bersyukur apabila melihat mereka yang terjejas dapat menjamu juadah yang enak di saat-saat seperti ini, namun pada masa yang sama sedih kerana ada yang tak dapat sama-sama merasa. Pun begitu menurut Erin, selepas bantuan makanan kenduri itu diagihkan, banyak lagi bantuan lain yang sampai kepada mangsa-mangsa banjir di sana.
Sumber: TikTok @erinerene