Sepang, 13 Dis – Kesemua 680 warga China yang ditahan di Cyberjaya bulan lalu yang dipercayai terlibat dalam jenayah atas talian akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang bermula hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, pertuduhan akan dijalankan pada dua sesi berikutan jumlah tahanan yang terlalu ramai.
Sebahagian tahanan akan didakwa pada hari ini manakala selebihnya pada Isnin akan datang. Setakat 9 pagi tadi, seramai 200 orang telah dihadapkan ke mahkamah.
Setakat ini operasi membanteras penipuan dalam talian membabitkan warga China menghasilkan 941 tangkapan.
Tangkapan terdiri daripada 680 orang di Cyberjaya (20 Nov), 104 penahanan di Sabah (26 nov), 52 tangkapan di Sarawak (29 Nov) serta 105 tangkapan pada Isnin dan Rabu lalu.
Kedutaan China akan bekerjasama dan mengharap semua tangkapan segera didakwa serta bersedia menyalurkan maklumat berkaitan kepada agensi terutama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan.
Sumber: Bernama