Ibrahim Hamadtou baru sahaja berusia 10 tahun ketika dia kehilangan kedua-dua belah tangannya dalam satu kemalangan kereta api ketika dia dalam perjalanan untuk pergi bekerja sebagai tukang kayu di Damietta, Mesir.
Kekurangan upayanya itu tidak menghalangnya untuk mewakili negaranya dalam sukan pingpong di pentas paralimpik sebanyak dua kali.
Atlet yang berusia 48 tahun itu mampu untuk bermain pingpong dengan menggunakan mulutnya sahaja. Dia juga memulakan servis dengan membaling bola pingpong itu menggunakan kakinya.
Menurut portal balls, Hamadtou tidak pernah bermain sukan sebelum kemalangan tersebut berlaku. Dia pernah mencuba untuk bermain bola sepak tetapi kerana kurang keseimbangan, dia sering tercedera.
“Ketika saya mengunjungi pusat belia, pingpong telah menarik perhatian saya,” jelasnya dalam temu bual dengan Olympic Channel.
“Perkara pertama yang saya cuba ialah memegang bat menggunakan bahagian ketiak saya namun saya gagal. Saya cuba cara itu sebanyak dua kali, pada kali ketiga, saya cuba letakkan bat itu di mulut saya, saya pegang dengan cara menggigitnya selama beberapa saat.
“Lalu saya terfikir, “Mengapa saya tak cuba bermain dengan menggunakan mulut saya sahaja?
“Keesokan harinya, saya berada di pusat belia itu bermula pada pukul 7 pagi. Dan di situlah semuanya bermula,” ujarnya.
Hamadtou dilaporkan mula bermain pingpong pada tahun 1986 namun bermula pada tahun 2014, dia telah menarik perhatian ramai ketika dia mendapat undangan untuk bermain dalam perlawanan yang menampilkan beberapa pemain terbaik dunia.
Satu video yang memaparkan dia sedang bermain pingpong telah menjadi tular. Dia kemudiannya berjaya menduduki tempat kedua dalam Kejohanan Paralimpik Afrika dan seterusnya layak ke sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro.
Terbaru, Hamadtou dilaporkan tewas dalam perlawanan pembukaan di Paralimpik Tokyo dengan skor 3-0 kepada Park Hong-Kyu dari Korea Selatan.
Walaupun tewas, kecekalan dan ketabahan yang ditampilkannya dalam pentas sukan paralimpik terbesar di dunia itu telah memberikan inspirasi kepada seluruh dunia.
“Ketika orang melihat saya memegang bat tersebut dan bergerak-gerak, kadang-kadang ada juga yang cuba untuk meniru style saya kerana sangka bahawa ianya mudah,”
“Ianya tidak mudah langsung. Semua yang ada pada badan saya perlu bergerak bersama saya. Saya perlu menguatkan kaki saya secara berterusan kerana saya lebih bergantung pada kaki saya berbanding dengan pemain lain.
“Leher saya juga perlu kuat, sama dengan gigi saya. Bat tidak boleh terlampau banyak bergerak sangat ketika saya menggigitnya, kerana jika ia bergerak, saya mungkin akan senang ditewaskan.
“Saya boleh menghabiskan sepanjang hari untuk berlatih sahaja. Saya harus memenangi sebanyak mata yang boleh.
“Ianya sangat sukar tetapi kerana kita suka akan permainan itu, kita harus berusaha juga untuk kekal bermain dan fokus.
“Saya merasakan bahawa saya sedang berbual dengan bola itu dan ianya dengar apa yang saya cakap. Saya benar-benar rasa seperti raja ketika saya berada di meja pingpong,” katanya.
Sumber: Balls.ie