Sesetengah juruterbang mungkin akan fokus untuk terbang di altitud yang tinggi, namun lain pula ceritanya bagi Dario Costa apabila kejayaannya mengendalikan kapal terbang dengan terbang di altitud rendah telah membuatkannya masuk di dalam rekod Guinness Book of World Records.
Juruterbang yang berusia 41 tahun itu pada Sabtu lalu telah berjaya mengendalikan sebuah pesawat perlumbaan jenis Zivko Edge 540 yang diubah suai khas memasuki sebuah terowong kembar Çatalca yang terletak di sepanjang Lebuhraya Marmara Utara di Turki.
Secara keseluruhannya, Costa telah berjaya memecahkan lima rekod susulan daripada kejayaannya itu.
Antara rekod tersebut adalah terbang menggunakan kapal terbang melalui terowong terpanjang, kapal terbang pertama terbang melalui terowong, penerbangan terpanjang di bawah rintangan yang kukuh, pesawat pertama yang melalui dua terowong dan kapal terbang pertama yang berlepas dari dalam terowong. Namun, hanya rekod yang pertama diiktiraf secara rasmi dengan sijil dari Guinness.
Persiapan untuk penerbangan yang berdurasi selama 43.44 saat itu dilaporkan mengambil masa selama setahun.
Segala-galanya, dari hari pertama berlatih sehinggalah ukuran sayap yang tepat, telah dirancang dengan teliti.
Menurut Guinness, jarak yang dilalui oleh Costa adalah 2.26 km (1.4) batu.
“Terdapat pelbagai persoalan yang bermain di fikiran saya,” kata Costa dalam satu kenyataan. “Ianya sangat melegakan, sudah tentu, tapi kegembiraan adalah yang paling kelihatan. Bagi saya, ianya adalah angan-angan yang menjadi kenyataan.”
Costa dibesarkan di Bologna dan bekerja sebagai pembersih kolam sambil mengejar impian penerbangannya. Dia juga bekerja sebagai stunt performer untuk filem ‘Mission Impossible 7’ yang akan datang.
Sumber: CNN