Banjir merupakan salah satu fenomena alam yang boleh dikatakan agak ‘ganas’ penangannya. Pepatah pernah menyebutkan, “Sekali air bah, sekali pantai berubah”.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu video yang berlaku di Cheras, di mana sebahagian tembok di tebing perumahan tiba-tiba runtuh dipercayai akibat ditolak oleh deruan air deras dari bawah tanah.
Berdasarkan rakaman yang dirakam dari lensa kamera litar tertutup (CCTV), satu-satunya ‘mangsa’ pertama yang terkesan ialah sebuah SUV yang diparkir di bahu jalan betul-betul di depan tembok tersebut.
Gambar: Siakap KeliMenyentuh tentang deruan air yang deras, satu lagi kejadian hampir sama turut tular di media sosial, kali ini memaparkan kejadian rempuhan air yang sangat KUAT di sebuah rumah yang telah dilanda banjir.
Meneliti video yang dikongsikan di akaun TikTok Blind Heart itu, pada asalnya seorang lelaki sedang melalui kawasan ruang tamu rumahnya yang sudah dinaiki air secara bersahaja tanpa menjangka apa-apa.
Namun sebaik saja dia melepasi ruang tamu itu, tiba-tiba dinding rumahnya merekah dan runtuh akibat dirempuh deruan air banjir yang sangat kuat dari arah luar, sekaligus meranapkan struktur dinding berkenaan.
Dalam masa sama, turut kedengaran suara manusia yang menjerit kuat, dipercayai mungkin laungan daripada tuan rumah tersebut. Sekelip mata, air banjir yang bergenang terus meninggi berbanding sebelumnya.
Setakat ini, rakaman video berdurasi 16 saat itu telah ditonton lebih 830,000 kali. Rata-rata warganet dilihat menzahirkan rasa bimbang serta berharap tuan rumah terselamat daripada banjir itu. Namun, tidak dapat dipastikan lokasi di mananya berlakunya kejadian tersebut.
Sumber: TikTok Blind Heart