Masalah kesihatan mental semakin hari semakin membimbangkan terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Malah, sejak pandemik COVID-19 melanda, banyak kes bunuh diri yang telah dilaporkan dan ia berpunca daripada masalah mental yang dihadapi oleh mereka selama ini.
Salah satu penyakit mental yang sering dihidapi oleh kebanyakan orang di dunia ialah skizofrenia.
Menurut Hello Doktor, skizofrenia merupakan penyakit mental kronik yang dikategorikan di bawah jenis gangguan psikotik. Ia mengganggu pemikiran, perasaan dan tingkah laku.
Seseorang yang menghidap penyakit ini juga seolah-olah telah terpisah daripada dunia realiti.
Terdapat beberapa simptom yang dialami oleh pesakit termasuk halusinasi, delusi, gangguan pemikiran dan gangguan pergerakan. Apabila mengalami halusinasi, pesakit kebiasaannya akan melihat, mendengar atau merasai sesuatu yang sebenarnya tidak wujud.
Dalam keadaan itu, hanya mereka saja yang tahu betapa takut dan penatnya untuk berhadapan dengan ‘sesuatu’ yang sering mengganggu kehidupan seharian mereka.
Mungkin ada yang tertanya-tanya dan ingin tahu bagaimana keadaan halusinasi tersebut. Justeru, SK kali ini akan berkongsikan mengenai video tular di TikTok yang memaparkan mengenai gambaran halusinasi yang dialami oleh penghidap skizofrenia.
Video tersebut telah dimuatnaik oleh seorang lelaki yang mengalami penyakit mental itu.
Menerusi video itu, penonton bagaikan dapat mengalami sendiri mengenai apa yang dirasai, dilihat dan didengari ketika berhalusinasi.
Ia kelihatan sangat menakutkan dan tidak akan sanggup dilalui oleh sesiapa sahaja.
Walaupun mungkin halusinasi yang dialami oleh setiap orang adalah berbeza namun ada sebahagian warganet yang mengatakan bahawa mereka turut merasai keadaan sama seperti di dalam video itu.








Melihat melalui video ‘simulator’ ini pun sudah sangat menakutkan, bayangkan keperitan yang perlu ditanggung oleh penghidap skizofrenia selama ini. Semoga yang sedang melaluinya diberikan kekuatan untuk terus menjalani hidup dan disembuhkan dari penyakit ini.
Diharapkan perkongsian video ini boleh menimbulkan kesedaran mengenai realiti masalah kesihatan mental khususnya skizofrenia.
Sumber: xoradmagical