Tindakan membuang sampah di merata-rata tempat merupakan isu yang sejak dahulu lagi tiada pengakhirannya. Walaupun sudah banyak kempen yang telah dijalankan, namun tetap masih ada sesetengah orang yang tidak peka terhadap kebersihan alam sekitar.
Terbaru, tular satu video yang memaparkan seorang lelaki dengan sengaja meletakkan sampah di luar tong sampah dipercayai di Pasar Awam Kampung Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Pun begitu, nampaknya tindakannya itu berjaya dikesan oleh Bahagian Keselamatan dan Komuniti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melalui pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).

Menerusi video yang dimuatnaik oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai beberapa hari yang lalu, lelaki tersebut seterusnya diberikan amaran oleh pegawai yang bertugas agar mengambil semula sampah tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah.
“Perhatian kepada pemilik kenderaan Proton Wira berwarna merah, anda telah membuang sampah di luar tong sampah MBSP.

“Anda diminta untuk mengambil kembali sampah tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah, sekiranya anda tidak mengambil sampah tersebut, tindakan penguatkuasaan akan diambil melalui CCTV,” kata pegawai tersebut.
‘Cuak’ mendengar amaran itu, lelaki itu dengan pantas membuang semula sampah ke dalam tong sampah yang telah disediakan dan mengangkat tangan pada CCTV sebagai ‘tanda’ meminta maaf.
Bukan lelaki itu sahaja yang ‘kantoi’, beberapa individu lain yang dilihat meletakkan kenderaan di tempat parkir OKU juga telah diberi amaran oleh pegawai tersebut.

Inisiatif yang dilakukan oleh pihak MBSP ini dipuji netizen kerana ia merupakan satu cara yang bagus untuk mengawasi dan menjaga keselamatan bandar tersebut.
Sumber: Majlis Bandaraya Seberang Perai