Sekurang-kurangnya 17 dilapor terkorban dan puluhan cedera selepas sebuah pesawat tentera udara Filipina terhempas dan terbakar hari ini.
Menurut Daily Mail, pesawat yang membawa anggota tentera itu terhempas di Patikul, selatan wilayah Sulu selepas terbabas dari landasan.
“Setakat ini, 40 cedera dan diselamatkan serta 17 jasad ditemui. Proses mencari dan menyelamat masih berjalan,” kata Menteri Pertahanan, Delfin Lorenzana.
Seramai 92 individu dilaporkan berada di dalam pesawat pengangkutan Lockheed C-130 itu termasuk tiga juruterbang dan lima kru, lapor portal tersebut.

Bagaimanapun, tiada tanda serangan ke atas pesawat berkenaan, ujar jurucakap tentera, Kolonel Edgard Arevalo, menambah siasatan kemalangan belum dimulakan susulan usaha ditumpukan kepada proses menyelamat dan merawat mangsa.
Gambar di lokasi kejadian menunjukkan api dan asap memenuhi kawasan pesawat terhempas.
Pesawat tersebut sedang memindahkan pasukan tentera daripada selatan bandar Cagayan de Oro di mana kebanyakan daripada mereka baru menghabiskan latihan asas tentera, tulis Daily Mail.