Menghiburkan, itulah perkataan yang boleh digambarkan apabila seekor kucing bertindak mahu bermanja dengan seorang sami Buddha ketika mereka dikatakan sedang membacakan doa tahun baru di sebuah kuil di Thailand.
Video rakaman yang mencuit hati itu memaparkan telatah seekor kucing sedang meminta perhatian daripada seorang sami yang kemudiannya terpaksa menolak kucing tersebut secara lembut untuk kekal fokus membacakan doa.
Menurut Daily Mail, hormat kepada semua hidupan adalah merupakan salah satu prinsip utama Buddhisme. Difahamkan, sebanyak 95 peratus rakyat Thailand mempraktikkan kepercayaan itu.
Selepas beberapa cubaan dilakukan untuk menangkis godaan kucing tersebut dibuat, sami tersebut akhirnya mengalah dan mula membelai si pengacau itu.
Menurut Luang Pi Komkrit Taechachoto, dia cuba untuk terus fokus membaca bukunya itu, namun tindakan kucing tersebut membuatkan fokusnya untuk membaca itu teralih.
“Saya cuba fokus untuk membaca buku saya. Tapi, kucing itu pandai menarik perhatian saya,” ujar sami tersebut.
Nophayong Sookphan, pengikut kuil yang merakam video tersebut pada mulanya hanya menyebarkan rakaman tersebut di Facebooknya sahaja.
Namun ianya telah menjadi tular dan sehingga kini, rakaman tersebut telah mendapat tonton sekitar 300,000 daripada netizen dan lebih 7 ribu perkongsian.
Sumber: Flash Nophayong Sookphan