Imej pertama roket China iaitu Long March 5B di garisan orbit telah didedahkan oleh ahli astronomi, lapor Daily Mail.
Menurut Daily Mail, Virtual Telescope Project yang berpusat di Itali telah berjaya merakamkan gambar roket tersebut, yang tampak seperti cahaya yang berkelipan ketika ianya melepasi teleskop robotik kumpulan ‘Elena’.
Roket China itu telah menjadi tajuk berita utama pada minggu ini selepas dilaporkan hilang kawalan dan berkemungkinan akan terhempas di kawasan yang tak berpenghuni di bumi.
Roket tersebut bergerak dengan sangat laju selepas ianya melepasi jarak 435 batu melintasi Virtual Telescopes Project’s pada malam Rabu, kata penyelidik.
Gianluca Masi, ahli astronomi yang terlibat dalam Virtual Telescope Project dan yang mengambil gambar roket itu menyatakan bahawa “ketika matahari hanya berada di beberapa darjah di bawah cakerawala, sehingga langit menjadi sangat terang. Namun teleskop robotik kami tetap berjaya merakamkan imej tersebut.”

“Ini satu lagi kejayaan yang besar, menunjukkan kemampuan luar biasa fasiliti robotik kami dalam mengesan objek ini,” katanya.
Agensi angkasa lepas dan ahli astronomi di seuruh dunia sedang mengesan laluan roket Ling March 5B dengan harapan dapat bersiap sedia ketika roket itu terhempas ke bumi.
Maklumat terbaru menunjukkan bahawa ianya dijangka akan terhempas ke bumi pada hari Sabtu, 8 Mei dan mungkin akan turun di kawasan yang tidak berpenghuni, menurut kerajaan AS.
Roket Long March 5B ini ditugaskan untuk menghantar Tianhe, blok bangunan stesen angkasa China pertama yang akan datang, ke orbit minggu lalu.
Tianhe telah dilancarkan dari Wenchang Space Launch Centre di Hainan, China pada roket Long March 5B, iaitu roket pengangkut terbesar China, pada hari Khamis (29 April).

Pelancaran Tianhe ini dikatakan adalah yang pertama dari 11 misi yang diperlukan untuk menyiapkan stesen angkasa China yang akan datang, yang bertujuan untuk menyaingi ISS milik Amerika Syarikat.
China menjangkakan untuk menyiapkan Stesen Angkasa China yang dikenali sebagai Tiangong pada akhir tahun 2022, lapor media tempatan, selepas lebih banyak modul dilancarkan.
Apabila sudah siap, Stesen Angkasa China akan mengorbit bumi pada ketinggian 340 hingga 450 km (211 hingga 280 batu).
Sumber: Daily Mail