Ibu bapa adalah insan yang paling banyak berjasa dalam hidup anak-anak. Segala pengorbanan mereka tak mampu dibalas hingga ke akhir hayat. Disebabkan itu kedua-dua insan ini perlu diletakkan di tangga yang paling tinggi untuk dihormati.
Umum tahu, Datuk Seri Aliff Syukri baru-baru ini dikejutkan dengan berita sedih apabila bapa kesayangannya telah pergi ke rahmatullah kerana menghidap serangan jantung tahap ketiga.
Kepergian abah tersayang benar-benar memberi kesan di dalam hidupnya sehingga beberapa kali beliau meluahkan rasa sedih dan ralat tidak menjadi anak yang baik melalui akaun Instagram miliknya.
Terbaru, beliau berkongsi video seorang pramugara Royal Brunei Air yang menyentuh hatinya dan rata-rata netizen.
Video tersebut menunjukkan seorang pramugara syarikat penerbangan terbabit menyuapkan makanan kepada seorang lelaki berusia dengan sangat berhemah.
Tindakan pramugara itu membuatkan Aliff Syukri sebak dan mengharapkan dapat melakukan perkara yang sama kepada arwah abahnya.
Beliau dalam pada itu berterima kasih kepada pramugara dan pramugari yang membantu lelaki berusia tersebut. Tidak dapat dinafikan, mulia tindakan yang dibuat kedua-dua mereka.
Semoga Allah membalas kebaikan mereka.